pesan pada diri tabahkan hati kuatkan semangat. pesan pada hati kukuhkan iman banyakkan zikrullah. pesan pada naluri jangan mengeluh dan kecewa. tiada daya dan rezeki melainkan dari Allah. dugaan itu suatu tarbiah kehidupan :)

Monday, December 6, 2010

hijrah kita.

Assalamualaikum w.b.t


Kalendar Islam bakal bertukar lagi nampaknya, cepat sungguh masa berlalu meninggalkan kita. kini 1 Muharam kembali lagi. semua orang sibuk bercerita mengenai hijrah. bukan saja ianya memberi maksud sejarah perpindahan Nabi Muhammad s.a.w dari Mekah ke Madinah, hijrah bagi saya memberi maksud yang meluas. apa yang kita faham tentang konsep hijrah? mungkin penulisan saya kali ini sedikit panjang, tapi sila baca sampai habis dan mula berfikir tentangnya.


perubahan
Hijrah menurut kacamata saya adalah suatu bentuk perubahan. berubah kepada yang lebih positif. sepertimana yang saya tonton di rancangan Fenomena Seni beberapa hari yang lalu, ia mengundang artis Farah AF2 dan Malek Nor bagi mengupas topik hijrah ini. mereka di minta bercerita kisah 'penghijrahan' mereka. Farah dengan perubahannya dari tidak bertudung kepada mula memakai tudung. Malek Nor pula dari menyertai pertandingan bina badan kepada berlakon, menyanyi dan sekarang sekadar seorang ahli perniagaan yang mencari redha Ilahi. 


kisah bagaimana mereka boleh terbuka hati untuk melakukan penghijrahan sedikit sebanyak berjaya buat saya sebak. lebih-lebih lagi melalui cerita Farah. seperti yang di ketahui, dia pada asalnya hanyalah seorang bintang mee segera tetapi mula melibatkan diri dalam bidang pengacaraan, bagi mengacarakan suatu program tv mencari makanan halal di sekitar Asia. menurut Farah, hatinya mula terdetik untuk berubah tatkala dia melawat Kemboja melalui program itu. melihat pada kanak-kanak yang masih kecil sudah bertudung dan sudah mula menghafaz al-Quran, persoalan mengenai apa yang dia cari selama ni sudah terjawab. 


"sebelum ini saya mengaji sekadar membaca sahaja tanpa fahami maksud ayat tapi sekarang saya mula membaca tafsirannya sekali dan saya terjumpa jawapan kepada persoalan yang saya cari melalui peringatan Allah kepada wanita mengenai aurat di dalam surah An-Nur" kata Farah dengan nada sebak. Allahuakhbar! semoga perubahannya kekal. bukan setakat memakai tudung saja tapi berpakaian ketat sebagaimana ramai wanita yang kita lihat sekarang. ini turut diperkatakan oleh seorang pemanggil yang diputuskan talian telefonnya dan saya tidak faham mengapa. bagi saya apa yang di katakan pemanggil terbabit banyak betulnya. tapi biasa lah, kebenaran memang pahit untuk di telan. 


lain pula ceritanya dengan Malek Nor. menurut beliau hatinya mula terdetik untuk berubah di saat dia mendengar azan di masjid belakang KLCC. "buat pertama kalinya saya betul-betul menghayati laungan azan dan saya menangis" kata Malek Nor. beliau memilih untuk meninggalkan sukan bina badan yang membantu mencipta namanya kerana sukan itu menuntutnya untuk membuka aurat. "saya menjual syarikat-syarikat saya kerana bagi saya apabila terlalu sibuk mengumpul harta ia menjauhkan diri saya dengan Allah" tambahnya lagi.


"perubahan paling besar dalam hidup saya adalah bila saya memilih untuk berumah tangga" kata seorang artis. ya, itu suatu penghijrahan juga. berubah dari suatu yang kita sudah biasa kepada sesuatu yang janggal bagi kita bukan sesuatu yang mudah. contoh jika kita seorang perokok, mengambil keputusan untuk berhenti merokok, pastinya itu bukan suatu perkara yang mudah melainkan ada sesuatu yang mendorong kita untuk betul-betul berazam untuk berhenti merokok.


seperti pengalaman ayah saya, dia di waktu mudanya adalah seorang perokok yang tegar. setelah berumah tangga pun ayah masih merokok sehinggalah suatu masa ayah mengalami batuk yang berpanjangan dan di tahan di wad hospital kerana batuk berdarah. kata ayah dia betul-betul takut dan mula memikirkan kami semua. mulai dari saat itu ayah belajar berhenti merokok dan sekarang ayah bebas dari rokok  :)


perlu berkorban
perubahan pastinya menuntut pengorbanan. saya ambil contoh ayah tadi, apabila bersama dengan rakan-rakan yang majoritinya merokok, sudah pasti nak mengelak dari merokok amat payah! di sini semangat dan keazaman ayah di uji. bak kata pepatah di mana ada kemahuan di situ ada jalan. walaupun di kelilingi dengan mereka yang merokok terutamanya bila pulang ke kampung. oh sepupu lelaki saya majoriti kuat merokok, tapi pendirian ayah sedikit pun tidak goyah. di sini hati memainkan peranan. 


teringat pula kata-kata seorang rakan yang dia yakin boleh berubah sepenuhnya kalau dia berada jauh dari tempat dia berada sekarang. di tempat yang tiada siapa mengenalinya kerana setiap kali melakukan perubahan, kawannya mula menyindir dan mentertawakannya. bagi saya kalau hati dah bersungguh nak berubah, pasti boleh. kenapa perlu fikir kata orang. jika kawan sendiri tidak dapat menerima perubahan positif kita, apa perlu kita berkawan dengannya lagi? kawan yang baik sepatutnya memberi sokongan. maka tinggalkan saja mereka. ingat, perubahan kadangkala menuntut pengorbanan. 


sukar?
bagi saya, mula melakukan perubahan itu tidaklah sesukar bagaimana nak mengekalkan perubahan kerana hati kita sering di uji. ya, lebih kuat iman kita lebih kuat Allah uji. tanda Dia menyayangi. berdasarkan contoh-contoh di atas tadi, marilah bertanya pada diri kita, mereka sudah bertemu dengan apa yang mereka cari, titik perubahan mereka. kita bila lagi?



semoga dengan kedatangan tahun baru ini, yang berniat untuk berubah akan terus berubah kepada yang lebih baik. yang berusaha untuk mengekalkan perubahan, terus tabahkan hati. InsyaAllah di permudahkan perjalanan kita olehNya. Allah akan memberi hidayah kepada sesiapa saja yang dikehendakinya. semoga kita semua terpilih untuk menerimanya. berhijrahlah kerana Allah. lillah hi ta'ala 


Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata:
 Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: 
“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” 

salam Maal Hijrah  :)

1 comment:

Unknown said...

Nice Post!!
Btw,this is one of the truly great blog :
www.fdausamad.blogspot.com
Just baca 4-5 entry, sure jadi ketagih..
Im not kidding dude!!!